My Followers

PANDUAN PENULISAN DISERTASI/TESIS IPS UPSI



1. PENDAHULUAN
Panduan Penulisan Disertasi/Tesis ini disediakan oleh Institut Pengajian Siswazah (IPS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai panduan kepada calon dalam proses penyediaan disertasi/tesis untuk memenuhi keperluan pengijazahan Ijazah Sarjana dan Kedoktoran.

Tesis – Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan & Ijazah Doktor Falsafah
Disertasi – Ijazah Sarjana Mod Penyelidikan & Kerja Kursus


2. PENYERAHAN DISERTASI/TESIS
Calon dikehendaki menyerahkan Disertasi/Tesis lengkap setelah diperiksa dan diperbaiki mengikut panduan yang ditetapkan oleh Institut Pengajian Siswazah.

2.1 Syarat penganugerahan ijazah
Pelajar dikehendaki memenuhi syarat ini bagi membolehkan mereka menerima ijazah masing-masing. Universiti tidak akan menganugerahkan ijazah kepada calon yang gagal berbuat demikian.

2.2 Simpanan naskhah Disertasi / Tesis
Empat naskhah Disertasi/Tesis berjilid keras dan dua dalam bentuk “CD” (cakera padat) format PDF perlu diserahkan oleh pelajar kepada pihak berikut:
i. Satu “CD” (cakera padat) bersama satu naskhah berjilid keras disimpan di perpustakaan Universiti.
ii. Satu ”CD” (cakera padat) bersama satu naskhah berjilid keras disimpan di IPS.
iii. Satu naskhah berjilid keras diserahkan kepada Fakulti.
iv. Satu naskhah berjilid keras diserahkan kepada penyelia.

2.3 Hak Milik Universiti
Semua Disertasi/Tesis menjadi hak milik kekal Universiti Pendidikan Sultan Idris, iaitu hak cipta bentuk asal dipunyai oleh Universiti, bukan oleh penulis Disertasi/Tesis.

3. FORMAT LAPORAN

3.1 Kertas
Kertas putih saiz A4 (210mmx297mm) yang sekurang-kurangnya 80gsm.

3.2 Penaipan
Disertasi/Tesis mestilah ditaip dengan menggunakan komputer. Calon hendaklah menggunakan pencetak berkualiti.
3.2.1 Huruf
Calon mesti menggunakan fon “Times New Roman” dengan saiz 12 poin.
3.2.2 Langkauan
Disertasi/Tesis mesti ditaip dengan menggunakan langkau sebaris (double spacing).
Walau bagaimanapun perkara di bawah perlu ditaip tanpa langkauan (single spacing) dalam teks:
i. Penghargaan.
ii. Petikan asal.
iii. Senarai rujukan (tetapi perlu ‘double spacing’ di antara rujukan).
iv. Keterangan melebihi satu baris jadual dan rajah.
v. Lampiran: seperti soal selidik, surat dan maklumat berkaitan.
vi. Tajuk dan sub tajuk yang panjang.
3.2.3 Penaipan tajuk
Semua tajuk (kecil sub tajuk) perlu ditaip dalam HURUF BESAR tebal tengah-tengah di antara jidar kiri dengan kanan, 5.0 sm daripada jidar atas.

3.3 Santak teks
Teks perlu ditaip santak kiri kanan (justify).

3.4 Perenggan
i. Ayat pertama dalam perenggan pertama bagi setiap tajuk hendaklah
dimulakan santak kiri.
ii. Ensotan (indent) bagi memulakan perenggan yang seterusnya ialah1.25 sm dari birai kiri.
iii. Antara perenggan satu baris (sekali ‘enter’).
iv. Antara perenggan terakhir dengan sub tajuk baharu langkauan 3 baris (3 kali ‘enter’).
v. antara tajuk dan perenggan 1 baris (1 kali ‘enter’). Perenggan baru pada bahagian bawah muka surat mestilah mengandungi sekurang-kurangnya dua baris yang lengkap ditaip. Jika tidak, ia perlu dimulakan pada muka surat baharu.

3.5 Birai (Margin)
Birai yang ditetapkan bagi teks seperti berikut:
Tepi sebelah atas :3.0sm
Tepi sebelah kanan :2.5sm
Tepi sebelah kiri :3.8sm
Tepi sebelah bawah :2.5sm
Hanya nota kaki dibenarkan di birai bawah.

3.6 Panjang penulisan Tesis/Disertasi/Kertas Projek
3.6.1 Tesis – laporan kajian akademik yang dikemukakan oleh pelajar Siswazah bagi memenuhi syarat keperluan program pengajian Sarjana secara Penyelidikan atau program Doktor Falsafah.
 Doktor Falsafah : tidak melebihi 100,000 patah perkataan.
 Mod Penyelidikan : tidak melebihi 60,000 patah perkataan.
3.6.2 Disertasi Sarjana - laporan kajian akademik yang dikemukakan oleh pelajar Siswazah bagi memenuhi syarat keperluan program pengajian Sarjana secara Penyelidikan dan Kerja Kursus.
 Mod B (Penyelidikan & Kerja Kursus): tidak melebihi 40,000
patah perkataan.
3.6.3 Kertas Projek laporan kajian penyelidikan, kajian perpustakaan, pembangunan produk, pembinaan modul atau setara yang dikemukakan oleh pelajar Siswazah bagi memenuhi syarat keperluan program pengajian Sarjana secara Kerja Kursus.
 Mod Kerja Kursus: tidak melebihi 20,000 patah perkataan.

3.7 Penomboran muka surat
3.7.1 Kedudukan nombor muka surat
Semua nombor muka surat bermula pada bab 1 dicetak tanpa tanda bacaan 1.5 sm dari atas dan 2.5 sm dari jidar kanan, bagi digit terakhir nombor berkenaan.
3.7.2 Jenis nombor
Bagi muka surat di antara muka surat judul dan muka surat bab 1 penomboran hendaklah digunakan huruf kecil Roman secara berturutan (i,ii,iii dan seterusnya) tanpa tanda bacaan.
Muka surat judul hadapan disertasi/tesis dianggap 1, tetapi nombornya tidak ditaip.
Nombor Roman ii diletakkan pada muka surat pertama selepas muka surat kedua halaman judul.
Teks, rujukan dan lampiran diberi nombor Arab berturutan (2,3,4, dan seterusnya) bermula pada muka surat kedua teks.

3.8 Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris tidak menetapkan keperluan tertentu tentang susunan teks. Namun, susunan yang dipilih perlu konsisten pada keseluruhan disertasi/tesis.

3.9 Nota kaki
Terdapat banyak perbezaan tentang kandungan dan kedudukan nota-nota di dalam penerbitan sains, kemanusiaan dan sains sosial. Calon hendaklah meminta nasihat penyelia masing-masing.
Dalam bidang sains, catatan nota kaki jarang digunakan. Saiz huruf yang digunakan bagi nota dan catatan kaki mestilah menggunakan saiz huruf 8 poin.

3.10 Jadual
3.10.1 Penomboran jadual
Setiap jadual mestilah mengandungi satu nombor rujukan (nombor arab) dan keterangan. Nombor jadual mestilah sekata dengan nombor bab jadual.
Jadual perlu dinomborkan secara berturutan. Misalnya, jadual dalam Bab 3 diberi nombor Jadual 3.1, Jadual 3.2, Jadual 3.3 dan seterusnya.
3.10.2 Kedudukan Jadual
Jadual mestilah dimuatkan betul-betul di tengah muka surat mengufuk dalam birai yang ditetapkan. Perkataan Jadual, nombor dan keterangannya dicetak pada sebelah atas jadual tersebut. Jika jadual bersambungan pada muka surat berikutnya, baris atas muka surat hendaklah berbunyi (sebagai contoh) ‘Jadual 5.1, sambungan). Keterangan tidak diulangi. Jika jadual petikan, rujukan mestilah dicatat.
Sila rujuk buku Manual Penerbitan APA

3.11 Rajah
Rajah mungkin mengandungi gambar foto, ilustrasi, graf atau apa sahaja yang tidak menyerupai skrip atau jadual.
3.11.1 Kedudukan Rajah
Perkataan rajah, nombor rajah (nombor arab) dan keterangannya diletakkan di bawah rajah tersebut. Jika rajah itu bersambung ke muka surat berikutnya, peraturan menulisnya sama seperti jadual, penomboran rajah juga berurutan.
Sila rujuk buku Manual Penerbitan APA
3.11.2 Gambar foto
Gambar foto yang lebih kecil daripada muka surat perlu diletakkan dengan kemas.
Sila rujuk buku Manual Penerbitan APA

3.12 Cetakan
Cetakan hanya pada sebelah muka surat. Semasa menjilid, muka surat bercetak hendaklah diletakkan di sebelah kanan atas.

4. PENJILIDAN

4.1 Naskhah untuk pemeriksaan
Enam/Tujuh salinan Disertasi/Tesis terakhir (yang dijilid dengan kulit lembut) mestilah diserahkan pada Institut Pengajian Siswazah bersama borang penyerahan Disertasi/Tesis yang dilengkapkan.
Selepas pemeriksaan, Disertasi/Tesis ini dikembalikan kepada calon. Calon dikehendaki membuat semua pembetulan berdasarkan komen pemeriksa dan diperakui oleh penyelia sebelum menjilid Disertasi/Tesis dengan kulit keras.

4.2 Naskhah terakhir untuk Universiti
Empat (4) naskhah yang dijilid dengan kulit keras bersama dua (2) salinan CD (cakera padat) dalam format PDF hendaklah diserahkan semula pada tarikh yang ditetapkan.

4.3 Warna kulit
Warna kulit untuk Tesis Kedoktoran berwarna hitam dan untuk Disertasi Ijazah Sarjana berwarna merah hati.

4.4 Keterangan pada kulit (rujuk lampiran di laman web)
4.4.1 Muka Hadapan
Maklumat hendaklah ditaip dengan HURUF BESAR berwarna emas yang bersaiz 18 poin Times New Roman atau Arial.
Tajuk Disertasi/Tesis disusun dalam bentuk piramid terbalik 6.0 sm dari birai atas.
Nama penulis mestilah lengkap seperti dalam kad pengenalan atau pasport antarabangsa, pada kedudukan tengah jidar.
Nama Universiti dan tahun ditulis dalam 2 baris dengan jarak 6.0 sm dari jidar bawah.
4.4.2 Tulang belakang
Maklumat hendaklah ditaip dengan HURUF BESAR berwarna emas berukuran 18 poin mengikut susunan seperti berikut:
i. Nama penulis : 3.0 sm dari birai atas
ii. Ijazah : Ph.D atau M.Ed
iii. UPSI : Singkatan nama universiti 3.0 sm dari jidar
bawah
iv. Tahun penyerahan Disertasi/Tesis (tarikh pengesahan Senat)

5. SUSUNAN KANDUNGAN
Setiap Disertasi/Tesis mengandungi tiga bahagian; permulaan, teks dan rujukan. Setiap bahagian mempunyai beberapa seksyen yang mesti disusun atur menurut peraturan tertentu.
Susunan dan kandungan Disertasi/Tesis perlu mengikut tertib seperti berikut:
Halaman Judul
Pengakuan
Penghargaan
Abstrak dalam Bahasa Melayu
Abstrak dalam Bahasa Inggeris
Kandungan
Senarai jadual
Senarai rajah
Senarai singkatan/simbol/tatanama/istilah
Teks Rujukan
Lampiran (jika ada)

5.1 Halaman judul (rujuk lampiran di laman web)
Halaman ini perlu mengandungi maklumat berikut:
i. Judul Disertasi/Tesis
(dalam bentuk piramid terbalik 6.0 sm dari jidar)
(Rujuk Lampiran I)
ii. Nama penuh penulis
(seperti dalam kad pengenalan / pasport antarabangsa)
iii. Disertasi/Tesis yang dikemukakan, contohnya
DISERTASI / TESIS DIKEMUKAKAN BAGI MEMENUHI SYARAT UNTUK MEMPEROLEH IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN (BIDANG) / SARJANA SAINS (BIDANG) / SARJANA SASTERA (BIDANG) / DOKTOR FALSAFAH (BIDANG)
** (MOD KERJA KURSUS / MOD PENYELIDIKAN DAN KERJA KURSUS / MOD PENYELIDIKAN)
** – untuk program Sarjana sahaja
iv. Nama Fakulti
v. Nama universiti
(UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS)
vi. Tahun Disertasi/Tesis itu diserahkan untuk pemeriksaan.
(Disertasi/tesis mutkahir, sila gunakan tarikh pengesahan Senat)

5.2 Pengakuan / Declaration
Pengakuan dimulakan pada muka surat baharu selepas muka surat judul ditaip di tengah-tengah muka surat tersebut. Calon dikehendaki menulis dan menandatangani pengakuan tersebut. Pengakuan boleh dalam Bahasa Inggeris bagi Disertasi/Tesis yang dikemukakan dalam bahasa berkenaan.
Penyerahan disertasi/tesis mutakhir, sila gunakan borang pengakuan yang disediakan.

5.3 Penghargaan
Bahagian ini tidak diwajibkan. Walau bagaimanapun, kebanyakan Disertasi/Tesis merakamkan penghargaan terhadap bantuan yang diberikan oleh orang perseorangan atau pertubuhan dalam penyelidikan Disertasi/Tesis calon. Panjang tidak melebihi satu muka surat dan ‘single spacing’.

5.4 Abstrak dalam Bahasa Melayu dan terjemahan
Abstrak yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris mestilah disediakan pada muka surat baharu selepas penghargaan. Abstrak Bahasa Inggeris (jika disertasi/tesis ditulis dalam Bahasa Melayu) perlu diletakkan tajuk dalam Bahasa Inggeris dan begitu juga sebaliknya.
Abstrak berupa ringkasan Disertasi/Tesis yang memberi penjelasan atau gambaran tentang masalah yang diselidiki, objektif dan matlamat kajian, kaedah dan dapatan penyelidikan dalam konteks kajian yang dijalankan. Panjang setiap versi tidak melebihi 200 perkataan atau tidak melebihi satu muka surat dan ‘single spacing’.

5.5 Kandungan
Kandungan perlu dimulakan pada muka surat baru. Ia mengandungi senarai kandungan yang terdapat dalam Disertasi/Tesis, iaitu Bab, tajuk dan sub tajuk yang berkenaan. Tajuk-tajuk dan sub-sub tajuk berkenaan hendaklah selaras seperti yang terdapat dalam teks.)
Bab hendaklah ditulis dengan huruf besar tebal.

5.6 Senarai jadual
Senarai jadual hendaklah dimulakan dengan muka surat baru. Senarai ini mengandungi tajuk jadual yang disertakan dalam penulisan dan tajuk mestilah seperti tajuk yang terdapat pada jadual berkenaan.

5.7 Senarai rajah
Senarai rajah hendaklah dimulakan pada muka surat baru. Ia mestilah mengandungi senarai tajuk gambar rajah, gambar foto, peta, graf dan sebagainya yang terdapat dalam penulisan.

5.8 Senarai singkatan/ simbol/tatanama/istilah
Senarai ini hendaklah ditulis pada muka surat baharu selepas senarai rajah.

5.9 Teks
Teks mengandungi beberapa bahagian contohnya, seperti berikut:
BAB1 : Pendahuluan
BAB 2: Tinjauan Literatur
BAB 3: Metodologi
BAB 4: Dapatan kajian
BAB 5: Perbincangan
BAB 6 : Kesimpulan dan Cadangan
atau
BAB1 : Pendahuluan
BAB 2: Tinjauan Literatur
BAB 3: Metodologi
BAB 4: Dapatan dan Perbincangan
BAB 5: Kesimpulan dan Cadangan

Secara amnya, kandungan dalam tesis/disertasi mengandungi perkara-perkara berikut :
5.9.1 Bab 1 : Pengenalan
- Latar belakang kajian
- Pernyataan masalah
- Persoalan kajian
- Objektif kajian
- Signifikan kajian
- Skop dan batasan kajian
- Kerangka kajian
- Hipotesis
- Reka bentuk kajian
- Definisi operasional
5.9.2 Bab 2 : Sorotan Literatur/Tinjauan Literatur
Sorotan literatur dan teori yang mempunyai kaitan dengan tajuk kajian yang dibuat. Sorotan literatur yang dipilih mesti berkaitan dengan kajian yang dibuat bagi membina kerangka kajian.
5.9.3 Bab 3 : Metodologi
- Pengukuran pemboleh ubah / instrumentasi
- Pengumpulan data
- Pensampelan
- Prosedur pengumpulan data
- Teknik analisis data
5.9.4 Bab 4 : Dapatan Kajian dan Perbincangan
Analisis data dan penemuan kajian dibincangkan di dalam bab ini. Dapatan keseluruhan dan analisis kajian dibentangkan dalam bentuk jadual, rajah dan pernyataan bagi membolehkan penemuan penting ditonjolkan. Dapatan dan perbincangan ini boleh dibuat lebih daripada satu bab.
5.9.5 Bab 5 : Kesimpulan dan Cadangan
Penemuan kajian disimpulkan selari dengan persoalan kajian. Signifikan kajian dan implikasi terhadap bidang kajian perlu ditonjolkan. Cadangan kajian untuk masa hadapan juga perlu dimasukkan di dalam bab ini.

Nota :
Ini merupakan panduan asas yang perlu ada dalam tesis/disertasi. Calon walau bagaimanapun dibenarkan (dengan persetujuan penyelia dan Fakulti) untuk menambah atau mengubah isi kandungan bagi disesuaikan dengan kajian yang dibuat.

5.10 Rujukan
Sila rujuk buku Manual Penerbitan APA

5.11 Lampiran
Disertasi/Tesis tidak semestinya mengandungi lampiran. Sekiranya perlu, bolehlah dimasukkan data kajian, jadual, contoh soal selidik, carta alir dan sebagainya ke dalam teks, atau yang tidak diperlukan secara langsung bagi menjelaskan perkara yang dibincangkan dalam teks. Lampiran boleh disusun sebagai LAMPIRAN A, LAMPIRAN B dan seterusnya

No comments:

Post a Comment

>