My Followers

Tekanan Kerja Dan Komitmen Untuk Meneruskan Pengajian Dalam Program Pensiswazahan Guru Di Perlis




Prosiding Seminar Kebangsaan Kaunseling, Kesejahteraan dan Pendidikan 2015, UPSI


 Tekanan Kerja Dan Komitmen Untuk Meneruskan Pengajian Dalam  Program Pensiswazahan Guru Di Perlis

Azlan bin Behadin
SMK Changlun
azlanbehadin@gmail.com
                                                               
Hazalizah bt Hamzah
Jabatan Psikologi & Kaunseling, UPSI
hazalizah@fppm.upsi.edu.my

 
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap tekanan kerja dan tahap komitmen untuk meneruskan pengajian serta mengukur hubungan antara tekanan kerja dengan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam Program Pensiswazahan Guru di Perlis. Seramai 150 orang guru yang mengikuti PPG di Perlis telah dipilih secara rawak mudah dalam kajian ini. Data-data telah dikutip melalui borang soal selidik yang mengandungi instrumen tekanan kerja iaitu Teacher Stress Inventory oleh Fimian, dan instrumen komitmen untuk meneruskan pengajian yang dibangunkan sendiri oleh pengkaji.  Darjah kebolehpercayaan bagi kedua-dua instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah 0.887, dan 0.799.   Data-data telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package of the Social Sciences (SPSS). Analisis dibuat dengan menggunakan kaedah statistik deskriptif iaitu kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai bagi mengenal pasti tahap tekanan kerja, dan tahap komitmen untuk meneruskan pengajian. Hubungan antara tekanan kerja dengan komitmen untuk meneruskan pengajian diukur dengan analisis statistik kolerasi Pearson. Hasil kajian menunjukkan bahawa guru-guru yang mengikuti PPG di Perlis mengalami tekanan kerja pada tahap sederhana manakala komitmen untuk meneruskan pengajian dalam PPG pula berada pada tahap yang tinggi. Kajian juga mendapati bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dengan komitmen untuk meneruskan pengajian.

Kata kunci: tekanan kerja, komitmen untuk meneruskan pengajian, program pensiswazahan guru, guru

 Pengenalan

Salah satu langkah kerajaan dalam memartabatkan profesion perguruan dan melonjakkan sistem pendidikan negara bertaraf dunia adalah dengan mewujudkan Program Pensiswazahan Guru (PPG) menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). PPG akan meneruskan dasar latihan keguruan yang dirancang sebelum ini bagi tujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang dipelajari oleh guru untuk dilaksanakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P). PPG bermatlamat mencapai sasaran 60,000 orang guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah pertama menjelang tahun 2015 supaya hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu semua guru di seluruh negara mempunyai ijazah pertama pada tahun 2020 akan tercapai (Berita Harian, 11 Mei 2011). Guru-guru ini diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan. Guru-guru yang mengikuti program ini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Isu guru-guru mengalami tekanan di tempat kerja bukanlah satu perkara baru diperkatakan malahan isu tekanan kerja guru sering dijadikan kajian oleh ramai penyelidik terutamanya di Malaysia. Dapatan kajian oleh Abang Mat Ali (1998), Dunham (1992), Lemaire (2009) dan Sufean (1993) menunjukkan bahawa guru-guru dibebankan dengan tugas-tugas yang tidak berkaitan dengan P & P seperti aktiviti ko-kurikulum, menghadiri mesyuarat, mengendalikan program-program pelajar, mengurus karenah dan kebajikan pelajar serta, tugas-tugas pengurusan. Aspek bebanan tugas, jumlah waktu mengajar serta kekangan masa turut menyebabkan tekanan kepada guru-guru (Cousin, 2000; Kyriacou & Chien, 2004; Lim, 2001; Nurul Izzah, Zailina, Saidi & Haslinda, 2010; Raja Maria Diana, 2011; Thomas, Clarke & Lavery, 2003). Dapatan ini selari dengan kajian yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Tugas Guru yang menyenaraikan sebelas faktor atau punca berlakunya beban tugas  guru iaitu, tugas rencam yang tidak berkaitan dengan P&P, waktu kerja, aktiviti kokurikulum, harapan ibu bapa, persekitaran dan kebajikan, kursus dalam perkhidmatan (KDP), pentaksiran, arahan bertindih, bidang tugas, saiz kelas dan penempatan.  
Guru-guru juga mengalami tekanan kerja disebabkan oleh kerja yang terlalu lama dan kerja yang berlebihan, kurang kawalan kerja dan kurang penglibatan dalam pembuatan keputusan, kurang sokongan sosial, peranan tugas yang tidak jelas dan kelemahan cara pengurusan (Michie & Williams, 2003). Tekanan kerja ini akan memberi kesan kepada keupayaan guru dalam melaksanakan sesuatu tugas di tempat kerja (Artiga & Betoret, 2010). Peningkatan beban tugas guru di sekolah akan menyebabkan tekanan kepada guru-guru yang mengikuti PPG kerana mereka masih lagi berkhidmat di sekolah semasa meneruskan pengajian ijazah pertama mereka
Tekanan kerja yang tinggi dalam kalangan guru boleh menghalang kepada produktiviti kerja yang baik dan memberi kesan fizikal dan psikologi guru (Payne & Firth, 1987).  Tekanan kerja yang berpanjangan juga dilihat dapat menyebabkan burnout, kepuasan kerja yang berkurangan, hubungan yang renggang antara pelajar dan guru, motivasi guru yang berkurangan dan kurangnya keberkesanan guru dalam memenuhi matlamat pendidikan. Hal ini sudah semestinya akan mempengaruhi komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru-guru yang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG) kerana guru-guru ini masih berkhidmat di sekolah semasa melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG). Berdasarkan Arkoff (1968), terdapat beberapa faktor yang mempunyai kaitan dengan kejayaan dan kegagalan pelajar dalam meneruskan pengajian di universiti iaitu pencapaian akademik yang lepas (sebelum memasuki universiti), faktor keupayaan atau IQ, faktor motivasi, faktor personaliti, dan faktor pembelajaran dan pengajaran.  Zhang dan Stephen (1998) mendapati bahawa punca pelajar-pelajar tidak meneruskan pengajian adalah disebabkan tiga faktor utama iaitu ketidakupayaan untuk mengendalikan tekanan, kurang komitmen, dan tidak dapat menyesuaikan diri. Shield (2004) pula dalam kajiannya mendapati bahawa punca majoriti pelajar dewasa tidak meneruskan pengajian mereka adalah berkaitan dengan kesukaran mengendalikan tekanan dalam pendidikan tinggi selain daripada tuntutan lain dalam kehidupan mereka. Kegagalan guru-guru ini menamatkan pengajian mereka dalam PPG akan membawa kerugian kepada negara disebabkan perbelanjaan yang banyak telah dikeluarkan untuk memberi tajaan kepada pelajar PPG ini.
PPG bukan sahaja mampu menyediakan lebih peluang pengajian kepada guru-guru yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah malahan dapat membantu negara melahirkan guru-guru berijazah bagi semua sekolah rendah dan sekolah menengah.  Bagi memastikan komitmen untuk meneruskan pengajian berada di tahap yang tinggi, guru-guru ini mestilah bijak dalam aspek pengurusan dan mengetahui untuk mendahulukan keutamaan bagi memastikan segala apa yang dicitakan tercapai tanpa mengabaikan kepentingan-kepentingan lain. Guru-guru yang mengikuti PPG sudah maklum dengan tuntutan dan tanggungjawab yang harus dihadapi sepanjang pengajian. Komitmen yang harus diberikan amat besar jika mereka benar-benar ingin berjaya.
Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap tekanan kerja dan tahap komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis. Selain itu, kajian ini juga akan mengukur hubungan antara tekanan kerja dan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam PPG di Perlis.


Objektif kajian 

(i)       Mengenalpasti tahap tekanan kerja dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis.
(ii)     Mengenalpasti tahap komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis.
(iii)   Mengukur hubungan antara tekanan kerja dan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis.

Soalan Kajian
(i)      Apakah tahap tekanan kerja dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis?
(ii)     Apakah tahap komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis?
(iii)    Adakah terdapat hubungan antara tekanan kerja dan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis?

Metodologi
Tempat dan Sampel Kajian 

Kajian ini disertai oleh 150 orang guru yang sedang mengikuti PPG di Perlis dari sesi kemasukan Jun 2011, Februari 2012 dan Februari 2013. Responden kajian telah dipilih menggunakan persampelan rawak mudah. Majoriti responden adalah perempuan iaitu seramai 89 orang. Seramai 72 orang guru berumur antara 36 hingga 45 tahun, 49 orang mempunyai pengalaman mengajar antara 11 hingga 15 tahun dalam bidang perguruan dan 145 orang guru telah berkahwin. Majoriti guru mempunyai kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia iaitu seramai 94 orang. Seramai 44 orang guru dari program pengajian Pendidikan Jasmani dan  126 orang guru mendapat purata matagred terkumpul(PMGT) terkini antara 3.00 hingga 3.74.

Instrumen Kajian

Soal selidik kajian terdiri daripada tiga bahagian. Bahagian pertama mengukur konstruk tekanan kerja.  Item-item dalam bahagian ini diterjemahkan dan diubahsuai oleh daripada Teacher Stress Inventory (TSI) yang dibangunkan oleh Fimian (1984).TSI terdiri daripada 50 item yang diikuti dengan lima skala berdasarkan Skala Likert iaitu daripada 1 yang mewakili Sangat Tidak Setuju hingga 5 bagi Sangat Setuju. Contoh item dalam TSI ialah “Saya mendapati terlalu banyak kertas kerja pentadbiran dalam tugas saya”.
Bahagian kedua mengukur konstruk komitmen untuk meneruskan pengajian. Item-item dalam bahagian ini dibina sendiri oleh penyelidik. Terdapat 10 item yang diikuti dengan lima skala berdasarkan Skala iaitu daripada 1 yang mewakili Sangat Tidak Setuju hingga 5 bagi Sangat Setuju. Contoh item dalam alat ukuran komitmen untuk meneruskan pengajian ialah “Saya komited untuk mendapatkan ijazah sarjana muda walaupun menghadapi pelbagai rintangan”.
Bahagian ketiga pula merupakan bahagian maklumat demografi yang mengandungi sembilan item iaitu jantina, umur, keturunan, pengalaman mengajar, status perkahwinan, kelayakan akademik tertinggi, sesi kemasukan, program pengajian dan PMGT terkini.

Analisis data
Data-data yang dikumpul telah dianalisis menggunakan perisian Statistics Package for the social Sciences (SPSS) versi 21.0. Statistik deskriptif telah digunakan bagi menerangkan ciri-ciri demografi responden dan menjawab persoalan kajian pertama, dan kedua manakala statistik inferens iaitu analisis kolerasi Pearson pula digunakan bagi menjawab persoalan kajian ketiga.


Dapatan Kajian dan Perbincangan

Tahap Tekanan Kerja

Berdasarkan analisis deskriptif, didapati bahawa secara keseluruhannya tahap tekanan kerja dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis adalah berada pada tahap yang sederhana (M = 3.1; SD=0.42).  Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tahap tekanan kerja bagi kebanyakan guru yang mengikuti PPG di Perlis masih lagi tidak membimbangkan.Dapatan kajian ini menyokong dapatan kajian oleh Abouserie (1996), Nurul Izzah, Zailina, Saidi dan Haslinda (2010), Fazura (2011) dan Raja Maria (2011) yang menunjukkan tahap tekanan kerja bagi guru-guru yang dikaji berada pada tahap yang sederhana.
Tahap tekanan kerja yang sederhana dalam kalangan guru-guru yang mengikuti PPG disebabkan kebanyakan guru ini mungkin mempunyai strategi menangani tekanan kerja yang baik. Strategi menangani tekanan yang baik akan membantu guru-guru dalam meredakan tekanan yang dihadapi (Kyriacou & Sutcliffe, 1978; Lazarus & Folkman ,1984).
Tahap tekanan kerja yang sederhana dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis juga adalah disebabkan berkemungkinan guru-guru ini dapat mengawal tekanan kerja yang dihadapi. Ini menyebabkan guru-guru ini tidak menunjukkan kesan-kesan dan simptom-simptom tekanan kerja yang begitu ketara seperti yang diterangkan oleh model tekanan kerja guru Kyriacou dan Sutcliffe (1978) dan model GAS oleh Selye(1975).
Tahap tekanan kerja yang sederhana dalam kalangan guru-guru ini disebabkan kemungkinan masalah disiplin dan salah laku pelajar di sekolah masing-masing adalah tidak membimbangkan dan dapat dikawal dengan baik. Oleh itu,tekanan kerja yang dihadapi oleh guru-guru tidak berada pada tahap yang tinggi. Dapatan kajian ini disokong oleh kajian Mohamad Abdillah dan Woo Sew Fun (2010) yang mendapati bahawa karenah pelajar memberikan tekanan kerja yang sederhana kepada guru.


Tahap Komitmen Untuk Meneruskan Pengajian

Keputusan analisis deskriptif menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, komitmen untuk meneruskan pengajian guru dalam PPG adalah pada tahap tinggi (M = 4.08; SD = 0.44). Dapatan kajian ini menunjukkan guru-guru ini mempunyai semangat yang tinggi untuk terus menamatkan pengajian mereka dengan jayanya. Hasil kajian ini selari dengan kajian Khairul Anwar et. al. (2006) dan Maria et. al (2010) yang menunjukkan bahawa komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan pelajar memberi skor min yang tertinggi berbanding dimensi-dimensi lain yang diukur seperti pencapaian akademik, kepuasan terhadap persekitaran, hubungan dengan rakan dan penglibatan dalam aktiviti.
Komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG  berada pada tahap yang tinggi disebabkan guru-guru ini mempunyai pencapaian yang baik dalam akademik. Ini dibuktikan dengan pencapaian guru-guru ini melalui PMGT terkini yang majoriti guru-guru mendapat antara 3.00 hingga 3.74. . Ini selari dengan dapatan kajian  Kwai (2010) yang menunjukkan bahawa pencapaian akademik mempunyai hubungan yang signifikan ke atas komitmen untuk meneruskan pengajian.
Komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG  berada pada tahap yang tinggi disebabkan berkemungkinan tahap efikasi kendiri yang tinggi dalam kalangan guru ini. Guru-guru yang lebih yakin dan lebih percaya mengenai kebolehan mereka dalam melaksanakan tugasan-tugasan akademik di dalam PPG akan lebih komited dan mempunyai komitmen yang sepenuhnya terhadap pengajian mereka ( Landry, 2003; Wright, Jenkins-Guarneri dan Murdock,  2012).
Tahap komitmen untuk meneruskan pengajian yang tinggi dalam kalangan guru PPG juga disebabkan guru-guru ini mungkin berjaya menyesuaikan diri mereka sacara sosial dan akademik dalam PPG. Berdasarkan Tinto (1993), pelajar yang berjaya melaksanakan proses intergrasi dalam sistem akademik dan sosial akan menentukan komitmen pelajar tersebut terhadap institusi dan jangka hayat pelajar dalam institusi tersebut

Hubungan Antara Tekanan Kerja Dengan Komitmen Untuk Meneruskan Pengajian

Analisis kolerasi Pearson menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dengan komitmen untuk meneruskan pengajian (r=-0.37, p=0.649, dua hujungan). Hal ini mungkin disebabkan tekanan kerja dilihat bukanlah sebagai satu cabaran bagi guru-guru ini dalam meneruskan pengajian mereka dalam PPG. Walaupun guru-guru ini mengalami tekanan kerja namun mereka menganggap tekanan kerja bukanlah satu ancaman bagi membolehkan mereka untuk berhenti dalam PPG.
Keputusan kajian juga mungkin disebabkan komitmen untuk meneruskan pengajian lebih banyak dipengaruhi oleh tekanan yang wujud dari aspek pembelajaran seperti tugasan, peperiksaan dan kekangan masa (Archer & Lamnin, 1985; Maroney, 2010) berbanding tekanan dari aspek pekerjaan.

Kesimpulan
Walaupun tahap tekanan kerja guru-guru dalam PPG di Perlis berada pada tahap yang sederhana namun langkah berjaga-jaga haruslah diambil bagi memastikan tekanan kerja guru ini tidak akan terus meningkat dan akhirnya membawa kesan negatif bukan sahaja kepada pekerjaan malah turut menjejaskan pengajian mereka. Dapatan kajian juga mendapati komitmen untuk meneruskan pengajian bagi guru-guru PPG di Perlis adalah berada pada tahap yang tinggi. Hal ini membuktikan guru-guru ini sangat komited dan bersemangat untuk terus mencapai hasrat dan impian untuk menamatkan pengajian dengan jayanya walaupun sepanjang pengajian mereka dibebankan dengan tugasan-tugasan akademik, tugas hakiki di sekolah serta urusan keluarga di rumah.
Dapatan kajian juga menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dengan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam kalangan guru yang mengikuti PPG di Perlis. Perkara ini menunjukkan komitmen untuk meneruskan pengajian tidak dipengaruhi oleh tekanan kerja yang dihadapi oleh guru di sekolah. Oleh itu, guru-guru PPG ini mungkin harus menumpukan untuk mengurangkan tekanan yang berpunca dari aspek pembelajaran. Diharapkan kajian ini dapat memberikan sedikit gambaran tentang tekanan kerja dan komitmen untuk meneruskan pengajian dalam PPG di Perlis.

Rujukan
Abang Mat Ali bin Abang Masagus. (1998). Strategi menangani tekanan di kalangan guru-guru sekolah menengah zon A di bahagian Kuching/Samarahan,Sarawak: Satu tinjauan (Tesis Sarjana). Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.

Abouserie, R. (1996). Stress, copying strategies and job satisfaction in university academic staff. Educational Psychology. 16(1), 49-56.

Archer, J., & Lamnin, A. (1985). An investigation of personal and academic stressors on college campuses. Journal of Student Personnel, 26, 210-215.

Arkoff, A. (1968). Adjustment and mental health. New York: McGraw-Hill.

Artiga, A.G., & Betoret, F.D. (2010). Barriers perceived by teachers at work, coping strategies, self-efficacy and burnout. Spanish Journal of Psychology, 13(2), 637-654.

Cousin, S., L. (2000). An analysis of stress factors and induction practices that influence a novice teacher’s intention to stay in the profession. USA: The University of Southern Mississippi.

Dunham, J. (1992). Stress in teaching. England: Routledge.
Fazura Mohd Noor. (2011). Faktor-faktor penentu tekanan dalam kalangan guru-guru: Kajian di sekolah rendah mubaligh di Kuala Lumpur (Disertasi Sarjana). Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Fimian, M.J. (1984a). Organizational variables related to stress and burnout in community-based programs. Education and Training of the Mentally Retarded, 19, 202–210.

Institut Pendidikan Guru Malaysia. (2011). Buku panduan program pensiswazahan     guru (PPG). Cyberjaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2007). Pelan induk pembangunan pendidikan (PIPP). Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Khairul Anwar Mastor, Firdaus Mohamad Hamzah, Ramlee Mustapha, Nik Rusdi Yacob & Khamisah Jaafar. (2006). Kajian perbandingan tahap kesesuaian, komitmen, gaya pembelajaran dan prestasi akademik pelajar-pelajar kejuruteraan kurikulum bukan OBE dan OBE. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement, 30, 607–610.

Kwai, C. (2010). Model of international student persistence: Factors influencing retention of international undergraduate students at two public statewide four-year university systems (Tesis Sarjana). Diambil daripada ProQuest Dissertations and Theses.

Kyriacou, C., & Chein, P.Y. (2004). Teacher stress in Taiwanese primary school. Journal of Educational Enquiry, 5, 86-104

Kyriacou, C & Sutcliffe, J. (1978). A model of teacher stress. Educational Studies, 4, 1-6.

Landry, C.C. (2003). Self-efficacy, motivation, and outcome expectation correlates of college students’ intention certainty (Doctoral dissertation). Louisiana State University and Agricultural and Mechanical College, USA.

Lazarus, R. S., & Folkman, S. (1984). Stress, appraisal and coping. New York: Springer Publishing Company.

Lemaire, J. (2009). Addressing teacher workload. Education, pp 6
Lim Kwee Ling. (2001). Kepimpinan transformasi dan kepuasan kerja guru (Laporan kajian yang tidak diterbitkan).Universiti Utara Malaysia, Sintok.

Maria Chong Abdullah, Habibah Elias, Jegak Uli, Rahil Mahyuddin. (2010).   Relationship between coping and university adjustment and academic achievement amongst first year undergraduates in a Malaysian public university. International Journal of Arts and Sciences, 3(11), 379-392.

Maroney, B.R. (2010). Exploring non-traditional adult undergraduate student persistence and non-persistence in higher education: A stress and coping model approach (PHD’s theses). Indiana University of Pennsylvania, USA.

Michie S. & Williams S. (2003). Reducing work related psychological ill health and sickness absence: A systematic literature review. Occupation Environment Medical, 60, 3–9.

Mohamad Abdillah Royo & Woo Sew Fun. (2010). Faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja (Stres) di kalangan guru-guru SJKC: Satu kajian di tiga buah sekolah di Wilayah Persekutuan. (Laporan kajian yang tidak diterbitkan).Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Nurul Izzah Abdul Samad, Zailina Hashim, Saidi Moin & Haslinda Abdullah. (2010). Assessment of stress and its risks factors among primary school teacher in the Klang Valley, Malaysia. Global Journal of Health Science, 2(2), 163.

Payne, R. & Firth, C. J.(1987). Stress in health proffesionals. Chichester: John Wiley.

PPG peluang kedua guru miliki ijazah. (2011).Berita Harian. 11 Mei. Diambil daripada http:// www.bharian.com.my/bharian/articles/PPGpeluangkeduagurumilikiijazah/ Article

Raja Maria Diana binti Raja Ali. (2011). Faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja di kalangan guru-guru sekolah menengah di daerah Pasir Puteh (Tesis Sarjana). Open University Malaysia, Kuala Lumpur.

Selye, H. (1975). Stress without distress. New York: Harper and Row.

Shield, R. W. (2004). The retention of indigenous students in higher education: historical issues, federal policy and indigenous resilience. Journal of College Student Retention: Research, Theory and Practice, 6(1), 111-127.

Sufean Hussin. (1993). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, sistem dan falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thomas, N., Clarke, V., & Lavery, J. (2003). Self-reported work and family stress of female primary teachers. Australian Journal of Education, 47, 73-87. Diambil daripada http://trove.nla.gov.au/version/166843216.

Tinto, V. (1975). Dropout from higher education: A theoretical synthesis of recent research. Review of Educational Research, 45, 89-125.

Wright S.L., Jenkins-Guarnieri, M.A. & L. Murdock, J.L. (2012). Career development among first-year college students: College self-efficacy, student persistence, and academic success. Journal of Career Development, 40(4), 292-310.

Zhang, Z. & Stephen, R.R. (1998). Prediction and analysis of freshman retention. Paper presented at the Annual Forum of the Association for Institutional Research.

No comments:

Post a Comment

>