My Followers

Stres Belajar




Memang tidak dinafikan seseorang guru yang membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran sama ada ke peringkat ijazah, sarjana atau PHD, mereka akan mengalami stres belajar sepanjang pengajian mereka sama ada di IPG mahupun di universiti. Ini dibuktikan daripada dapatan kajian yang telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu.

Pamela P. Smilo(2008) dalam kajiannya menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap stres di kalangan pelajar yang tinggal di dalam dan di luar kampus.  Kajian juga menolak hipotesis yang menyatakan terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap stres di kalangan pelajar yang bekerja dengan atau pelajar yang tidak bekerja. Ini disebabkan kajian dilakukan pada minggu pertama semester baru. Jika kajian ini telah dijalankan di tengah-tengah semester atau semasa peperiksaan akhir kemungkinan akan dapat keputusan yang berbeza tentang   tahap stres.
Kimberly Lynn Dickerson(2008) menyatakan bahawa tahap stres guru-guru pelatih bidang pendidikan khas adalah lebih tinggi daripada guru-guru pelatih bidang lain semasa dan selepas tamat latihan mengajar.  Kajian juga membuktikan bahawa tahap stres guru pelatih bidang pendidikan khas selepas tamat katihan mengajar lebih tinggi daripada tahap stress semasa latihan mengajar.
Kajian oleh Karen S. Moses(2012) menyatakan bahawa antara faktor yang paling memberi stress dan membawa kesan negatif kepada prestasi akademik adalah keluarga, faktor-faktor masa,kewangan, dan pensyarah. Manakala faktor kesihatan mental dan fizikal, teknologi, perjalanan, kebimbangan peribadi, dan masalah undang-undang  memberikan stress di tahap yang sederhana kepada pelajar.
Mastura Mahfar, Fadilah Zaini  &Nor Akmar Nordin(2007) dalam kajian mereka, ‘Analisis faktor penyebab stres di kalangan pelajar’ mendapati bahawa bahawa tahap stres pelajar yang dikaji adalah di tahap yang sederhana. Mereka juga mendapati bahawa kerjaya merupakan faktor  penyebab utama stres di kalangan pelajar, diikuti oleh faktor akademik dan faktor persekitaran.
Hasil kajian oleh Priya & Vikram Bisen(2012) ke atas 300 pelajar Sarjana Perniagaan (MBA) telah mendapati bahawa pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ini mengalami stres semasa dalam pengajian mereka. Kajian yang menggunakan kaedah kuantitatif melalui kaedah tinjauan mendapati bahawa 90.6% pelajar mengalami simptom stres iaitu perubahan tabiat tidur dari simptom-simptom yang lain seperti kebimbangan, kegelisahan, sakit leher/bahu, tertekan dan sebagainya.  Kajian ini juga telah merumuskan terdapat lima faktor utama yang menyumbang kepada stres pelajar-pelajar ini iaitu tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, kebimbangan mendapat pekerjaaan, persaingan dengan rakan, gred yang rendah serta harapan yang tinggi daripada keluarga.
Misra dan McKean (2000) telah melakukan kajian terhadap 249 orang pelajar dan 67 orang pensyarah di Universiti Midwestern  yang bertujuan membandingkan persepsi antara pelajar dan pensyarah terhadap stres akademik pelajar. Hasil kajian menunjukkan bahawa wujud ketidaksamaan persepsi di kalangan pelajar dan pensyarah terhadap punca stres pelajar dan reaksi terhadap stres. Kajian menunjukkan bahawa persepsi pensyarah adalah pelajar mempunyai tahap stres yang tinggi serta menunjukkan reaksi stres yang kerap berbanding persepsi sebenar pelajar terhadap stress belajar. Stres di kalangan pelajar university telah dikenalpasti kepada empat aspek iaitu akademik, kewangan, kesihatan dan masa. Tahap stres paling tinggi di kalangan pelajar adalah semasa membuat persediaan untuk peperiksaan, persaingan memperolehi gred yang baik serta perkara yang melibatkan pengurusan masa.
Ia selari dengan kajian yang dibuat oleh  Zaid, Ali , Siti , Ahmad  dan Abdul Rashid (2009) yang melibatkan seramai 245 orang sampel yang terdiri daripada pelajar-pelajar wanita tahun akhir program Sarjana Muda Kejuruteraan yang telah dipilih secara rawak dari tiga fakulti kejuruteraan di UTHM.  Kajian yang berbentuk menunjukkan bahawa semua pelajar wanita tahun akhir program Sarjana Muda Kejuruteraan dari semua fakulti kejuruteraan menghadapi stres semasa berada di UTHM..  Hasil kajian juga mendapati bahawa faktor hubungan interpersonal merupakan penyumbang utama stres pelajar diikuti faktor akademik dan faktor persekitaran pembelajaran.   Faktor utama yang menyumbang kepada stres pelajar wanita dari aspek akademik disebabkan jadual peperiksaan yang terlalu padat dan terlalu banyak bab yang perlu diulang kaji untuk menghadapi kuiz, ujian atau peperiksaan.   Dalam aspek persekitaran pembelajaran pula, faktor utama yang menyumbang kepada stres pelajar wanita disebabkan pencemaran bunyi, udara dan air di sekitar tempat belajar dan pengangkutan bas/van yang tidak sistematik.
           

No comments:

Post a Comment

>